KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah menyasarkan penanaman kira-kira 36 juta pokok sempena Kempen Penanaman 100 juta Pokok peringkat negeri yang berlangsung selama lima tahun hingga 2025, di negeri ini. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor, berkata kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha positif untuk memastikan khazanah hutan negeri terus kekal, perpelihara dan dapat dimanfaatkan sebaik mungkin.
Menerusi kempen yang bermula pada tahun ini, beliau berkata penanaman pokok itu membabitkan lima kategori antaranya ladang hutan, restorasi hutan, pembangunan ladang getah dan pokok buah-buahan. “Khazanah hutan yang menghijau, bukan sahaja memberi kebaikan kepada kesihatan, tetapi membantu dalam pembangunan ekonomi negara. Ini sejajar dengan Sabah sebagai negeri yang menawarkan destinasi pelancongan berasaskan flora dan fauna.
“Sumber hutan yang banyak juga sudah pasti akan membangunkan industri berasaskan kayu seperti perabot dan papan lapis di negeri ini. Perkembangan ekonomi berasaskan sektor pelancongan dan industri kayu, pastinya meningkatkan keupayaan kerajaan negeri menyediakan kemudahan infrastruktur kepada rakyat seperti jalan raya, perumahan, air dan elektrik serta peluang pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Program Penghijauan Malaysia Kempen Penanaman 100 juta Pokok peringkat negeri Sabah di perkarangan Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di sini. Yang turut hadir ialah dua Timbalan Ketua Menteri iaitu Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Datuk Dr. Joachim Gunsalam; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr Haji Safar Untong dan Ketua Konservator Hutan yang juga Penasihat majlis pelancaran, Frederick Kugan. Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyempurnakan Agenda Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok di perkarangan Kompleks Sri Perdana di Putrajaya, yang turut dilancarkan secara serentak di seluruh negara, hari ini. Tema Kempen Penanaman 100 Juta Pokok ini, “Pokok Kita Kehidupan Kita” atau “Our Trees Our Life”.
Hajiji berkata, kempen penanaman pokok di Sabah bermula sejak 2010 membabitkan kawasan yang kurang kayu akibat cara pembalakan yang turut merosakan khazanah hutan di negeri ini. “Inisiatif penanaman pokok ini sudah tentu dapat membantu kerajaan dalam usaha pengurusan hutan secara berkekalan di negeri ini. “Selaku Ketua Menteri Sabah, besarlah harapan saya agar kempen ini akan menaikkan semangat rakyat negeri ini dan menyemarakkan usaha menanam pokok khususnya tanah milik persendirian. Rakyat Sabah secara keseluruhannya perlu bersama menjayakan kempen ini,” katanya.
Terdahulu, Frederick berkata usaha penanaman pokok ini dilaksanakan secara meluas oleh Jabatan Perhutanan Sabah bagi menjamin sumber bekalan bahan mentah untuk industri berasaskan kayu yang mencukupi untuk jangka masa panjang. Katanya, usaha ini juga bertujuan melindungi dan memulihara kepelbagaian Biologi Flora dan Fauna Hutan Hujan Tropika yang menjadi pemangkin nadi kepada perkembangan pesat industri pelancongan di Sabah. “Agenda Penghijauan Negara sebenarnya sejajar dengan Dasar Hutan Negeri khususnya yang berkaitan dengan usaha restorasi hutan atau penanaman pokok seperti Pembangunan Ladang Hutan.