KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menerima kunjungan hormat Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu, Liang Caide di pejabatnya di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) pada Isnin. Liang Caide turut menyerahkan 50 ribu keping pelitup muka (face mask) kepada Hajiji, sumbangan Consulate General of the People’s of China in Kota Kinabalu dan Embassy of the People’s Republic of China in Malaysia.


Hajiji mewakili Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan negara China diatas sumbangan dan bantuan yang telah diberikan kepada negeri Sabah dalam memerangi pandemik COVID-19. Katanya, Kerajaan Sabah akan meningkatkan hubungan baik dan kerja sama dua hala yang sedia terjalin dengan negara China. “Sabah memerlukan bantuan dan sokongan daripada pihak China khususnya dalam sektor pelancongan, pelaburan harta tanah, infrastruktur, pertanian dan lain-lain bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri.


“Majlis Penasihatan Ekonomi Sabah (SEAC) akan melawat negara China bagi menarik para pelabur ke Sabah selepas pandemik Covid-19”, katanya. Hajiji berkata, hubungan baik diantara China-Malaysia dan Sabah telah memberi manfaat kepada kedua-dua pihak terutamanya kepentingan perdagangan dan ekonomi. Beliau berharap hubungan erat Sabah dan China akan meningkatkan dan mengembangkan semangat setia kawan dan persaudaraan dua hala.


Sementara itu Liang Caide memberi jaminan pihaknya akan memberikan kerjasama dan bantuan yang diperlukan oleh Sabah kerana hubungan akrab China dan Malaysia. Beliau yakin, Sabah dibawah pimpinan Hajiji mampu memerangi pandemik COVID-19. Liang turut menjemput Hajiji melawat negara China selepas pandemik COVID-19, bagi melihat sendiri potensi pelaburan kedua-dua pihak, termasuk dalam bidang teknologi maklumat, pertanian dan lain-lain.